Jobstreet Malaysia lancar pameran kerjaya maya terbesar
Bernama
Mac 2, 2022 04:49 MYT
Mac 2, 2022 04:49 MYT
KUALA LUMPUR: Jobstreet Malaysia dan syarikat induknya SEEK Asia, mengumumkan pelancaran Pameran Kerjaya Secara Maya Terbesar Asia (Asia's Biggest Virtual Career Fair) susulan peningkatan ketara permintaan terhadap bakat dalam bidang teknologi.
Jobstreet Malaysia dalam kenyataannya berkata acara itu adalah sebahagian daripada Kempen 'Let's Get To Work' oleh SEEK Asia yang bertujuan memadankan peluang kerja dalam bidang teknologi dan digital dengan pencari pekerjaan.
"Pameran kerjaya tersebut akan diadakan dari 9 hingga 11 Mac ini, dengan penyertaan syarikat-syarikat multinasional seperti Top Glove, RHB Banking Group, Dell Technologies, Intel, IBM dan TIME yang menawarkan jawatan dalam bidang teknologi dan digital," menurut kenyataan itu.
Menurut Jobstreet Malaysia, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 42.4 peratus dilaporkan dalam pengambilan pekerja dari industri komputer dan teknologi.
"Dalam dua tahun kebelakangan ini (2020 dan 2021) transformasi digital perniagaan dalam industri makanan dan minuman, perkhidmatan kewangan dan hartanah, telah mendorong permintaan untuk bakat dalam teknologi maklumat (IT), justeru mewujudkan keperluan kepada majikan dan pencari pekerjaan untuk menggiatkan usaha dalam peningkatan kemahiran dan pemahiran semula bagi mengasah kemahiran digital.
"Sebagai tambahan, laporan Bakat Digital Pengkodan SEEK Asia turut menyatakan bahawa pekerja digital sangat berhasrat untuk menukar pekerjaan, dengan 63 peratus bakat digital aktif mencari peluang kerjaya dalam peranan yang berbeza," menurut kenyataan itu.
Jobstreet Malaysia berkata acara tersebut akan menampilkan antara muka mudah alih pertama yang akan membolehkan majikan dan pencari pekerjaan mengambil bahagian secara maya, termasuk dari Singapura, Filipina, Thailand, Indonesia dan Hong Kong, selain Malaysia.
Pencari pekerjaan dan majikan boleh mengakses platform dalam talian itu untuk temu ramah segera dan secara langsung, selain mendapatkan maklumat mengenai tugas dan gaji dalam syarikat teknologi, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA