JobMatchingPTPTN diperkenal bagi bantu peminjam dapatkan pekerjaan

Zaim Ibrahim
Mac 9, 2018 03:28 MYT
Ahmad Zahid bersama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh (empat, kanan) pada Sambutan 20 Tahun penubuhan PTPTN pada Khamis. Turut kelihatan Shamsul Anuar (dua,kiri). --fotoBERNAMA
Bagi menangani masalah dihadapi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), satu inisiatif baharu dilancarkan bagi membantu pelajar mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
Program yang dinamakan JobMatchingPTPTN itu diperkenalkan bagi membantu peminjam, khususnya lebih 300,000 yang belum pernah membuat bayaran balik pinjaman.
"Melalui kerjasama dengan Prestariang Systems Sdn Bhd, PTPTN menyediakan sebuah portal khas bagi peminjam PTPTN mencari pekerjaan.
"Kemudian, kelayakan akademik dan kekosongan jawatan akan dipadankan supaya mereka boleh bekerja," kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan program itu pada Khamis.
Perbadanan itu turut menyediakan portal JobMattchingPTPTN untuk peminjam membuat permohonan jawatan kosong; membuat padanan antara kelayakan akademik, pengalaman dan minat peminjam dengan jawatan kosong; mengatur temuduga antara majikan dan peminjam; serta mengatur latihan kemahiran tambahan sama ada di universiti awam, Institusi Pendidikan Swasta, Politeknik atau Kolej Komuniti.
Ahmad Zahid berkata, PTPTN yang ditubuhkan 20 tahun lalu ketika Datuk Seri Najib Razak merupakan Menteri Pendidikan, melaksanakan pendemokrasian pendidikan bagi membantu golongan kurang berkemampuan menerusi aspek akademik.
"Negara kita merupakan satu-satunya kerajaan yang menyediakan tabung pendidikan terbesar untuk rakyatnya.
"Ia tentu sekali lahir daripada keikhlasan hati perdana menteri, dan hasrat perdana menteri ini diterjemahkan dari tahun ke tahun sehingga kini ia berdiri sebagai tabung kewangan yang gagah di negara ini," katanya ketika berucap pada majlis itu yang diadakan sempena sambutan 20 tahun PTPTN.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif itu membuktikan pihaknya bukan sekadar badan peminjam wang malah sebuah badan yang mampu membantu mahasiswa.
"Bagi mereka yang memerlukan kemahiran tambahan, kami akan sediakan geran sebanyak RM20 juta.
"Selain itu, 10,000 pendaftar awal juga berpeluang menerima tajaan dalam bentuk yuran pengajian sebanyak RM2,000.”
"Program ini mampu meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa, mencipta peluang pekerjaan baharu, serta kursus pengajian yang sesuai dengan keperluan industri," tambahnya.
Menurut Shamsul Anuar, kemahiran yang ditawarkan adalah mengikut keperluan semasa industri seperti ekonomi digital, animasi dan sebagainya.
Beliau percaya, program ini mampu membantu mereka mendapatkan pekerjaan serta membayar balik pinjaman PTPTN.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan Geran Sepadan RM50 Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) kepada pelajar Tahun Satu turut dinaikkan sebanyak 10 kali ganda kepada RM500 bagi ibu bapa yang membuat simpanan minimum RM500 di dalam akaun berkenaan tahun ini.
Sementara itu, skop pemberiannya juga diperluaskan kepada anak-anak yang berumur tujuh hingga 12 tahun.
"Ini bermakna, dengan deposit sebanyak RM500 di dalam SSPN1M, kerajaan akan memberikan geran sepadan dalam bentuk simpanan sebanyak RM500 percuma menjadikan jumlah deposit sebanyak RM1,000 atau boleh dianggap sebagai pulangan segera 100 peratus menerusi simpanan ini," katanya.
#Ahmad Zahid Hamidi #Datuk Shamsul Anuar #kerajaan #menteri #pelajar #pendidikan #PTPTN #TPM #UMNO