JMM dakwa akhbar Cina talibarut sindiket seludup diesel
Astro Awani
Jun 6, 2014 17:19 MYT
Jun 6, 2014 17:19 MYT
Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendakwa akhbar Sin Chew Daily menjadi talibarut kepada sindiket penyeludupan diesel di negara ini.
Timbalan Presidennya, Omar Saleh berkata pihaknya mengesyaki akhbar Cina tersebut berkemungkinan bekerjasama sindiket penyeludupan diesel dengan tujuan menyelamatkan kumpulan tersebut supaya terus membuat keuntungan.
Beliau berkata, pihaknya kesal dengan sikap akhbar tersebut dan menyifatkan laporan akhbar itu baru-baru ini sebagai tidak bertanggungjawab.
Katanya, JMM dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain akan membuat satu laporan polis Isnin depan jam 11 pagi di Balai Polis Dang Wangi.
"Mereka ini didapati cuba menghasut rakyat supaya menentang apa sahaja usaha kerajaan untuk membanteras penyeludupan diesel.
"Kita akan membuat laporan polis terhadap surat khabar Cina ini yang disyaki mungkin menjadi talibarut penyeludup diesel yang sedang berleluasa.
"Segala bukti akan didedahkan dalam laporan polis Isnin nanti," katanya dalam satu sidang media di pejabat JMM di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kebangsaan JMM, Faizan Mohd Noor mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap akhbar tersebut.
"Kita berharap kerajaan akan mengambil tindakan tegas, terutama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Saya cadangkan kerajaan tarik balik lesen akhbar tersebut untuk tempoh tertentu," katanya.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Presiden Majlis Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah dan wakil Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Mohamed Durrany Izam.
Sebelum ini, ia telah dilaporkan kerajaan dijangka akan memperkenalkan satu sistem baharu penjualan diesel dan petrol bersubsidi kepada pemilik kenderaan yang layak secara berperingkat mulai 1 September ini.
Terdahulu, Sin Chew Daily yang memetik sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaporkan, hanya pemilik kenderaan di bawah 2,000cc dan berpendapatan bawah RM5,000 layak membeli bahan api bersubsidi.
Di bawah sistem baharu tersebut, semua warga asing dan kereta asing tidak dibenarkan membeli bahan api bersubsidi.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad menafikan dan menganggap ia hanya spekulasi.