JMB perlu selesai isu meter individu - Kor Ming

Umavathi Ramayah
Disember 28, 2023 14:16 MYT
Nga Kor Ming menjelaskan, pada masa akan datag setiap unit rumah perlu mempunyai meter individu, masing-masing. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SERI KEMBANGAN: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) akan berbincang dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) mengenai migrasi akaun meter pukal kepada akaun bekalan air meter individu bagi menyelesaikan masalah pemotongan bekalan air secara keseluruhan di perumahan berstrata.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan, langkah itu penting bagi memastikan pada masa yang akan datang setiap unit rumah mempunyai meter individu, masing-masing.
Katanya, langkah itu adalah bagi memastikan hanya penghuni yang tidak melunaskan bayaran sahaja akan berdepan dengan tindakan pemotongan bekalan itu.
"Masalah tersebut adalah susulan tindakan Air Selangor untuk memindahkan pembayaran meter secara pukal kepada pembayaran meter individu.
"Oleh itu, Air Selangor akan berbincang dengan JMB supaya setiap unit itu pada masa akan datang mempunyai meter unit dan mereka akan bertanggungjawab untuk meter masing-masing," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Pasar Bazar Rakyat di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pemotongan bekalan air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tasik Selatan, baru-baru ini.
Rata-rata penduduk menyifatkan tindakan Air Selangor itu sebagai tidak adil kepada mereka yang membayar tanpa sebarang tunggakan.
#JMB #Nga Kor Ming #SYABAS #pemotongan bekalan air
;