JMB perlu lebih proaktif cegah denggi - Dr Dzulkifly

Firdaus Azil
Julai 28, 2018 14:02 MYT
JMB perlu mengadakan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mewujudkan Jawatankuasa Perubahan Tingkah Laku (COMBI) serta mengadakan program gotong-royong secara berkala. - Gambar fail
Kementerian Kesihatan mengharapkan kerjasama yang lebih proaktif daripada Jawatankuasa Penduduk (JMB) dalam usaha mengawal dan mencegah wabak denggi, kata menterinya Dr Dzulkifly Ahmad.
Beliau berkata, mereka juga perlu mengadakan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mewujudkan Jawatankuasa Perubahan Tingkah Laku (COMBI) serta mengadakan program gotong-royong secara berkala bagi memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes di kawasan mereka.
“Saya kira kalau kita bukan langkah baru yang diperlukan tetapi keberkesanan langkah-langkah itu…saya kira pendekatan-pendekatan itu sudah kita cerakinkan dan kita susun.
"Yang pentingnya adalah penglibatan seluruh tenaga menjayakan program-program COMBI serta program-program yang menjurus kepada penghapusan nyamuk Aedes ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan di Bandar Puncak Alam, di sini hari ini.
Dalam tempoh antara 1 Jan hingga 21 Julai lepas, sebanyak 61 kematian akibat wabak Denggi telah dicatatkan di seluruh negara.
Selangor masih menjadi negeri yang mempunyai kadar kes denggi tertinggi, iaitu sebanyak 22,682, diikuti Kuala Lumpur (3,500) dan Johor (3,212).
#aedes #Combi #denggi #Dr Dzulkifly Ahmad #JMB #Kementerian Kesihatan #Kuala Lumpur #Menteri Kesihatan #Selangor
;