JLM tubuh pasukan penyiasat kenal pasti punca kejadian feri terkandas
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 29, 2022 11:30 MYT
Oktober 29, 2022 11:30 MYT
ALOR SETAR: Jabatan Laut Malaysia (JLM) menubuhkan pasukan penyiasat bagi memastikan insiden feri terkandas di muara Jeti Kuala Kedah seperti yang berlaku baru-baru ini, tidak berulang.
Menurutnya, pasukan itu akan turut memantau pemeriksaan yang dilakukan organisasi diiktiraf ke atas keselamatan feri itu sebelum ia dibenarkan beroperasi semula.
JLM menerima laporan berkaitan insiden sebuah feri membawa 139 penumpang termasuk enam bayi, yang terkandas apabila kipasnya tersangkut pada tali sauh sebuah kapal korek.
Kejadian itu mengakibatkan enjin feri tersebut mati di kedudukan 0.78 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Kedah, pada jam 4.16 petang semalam.
“Susulan itu, JLM bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan Pelan Kontigensi Mass Maritime Rescue Operation (MMRO).
"Menerusi operasi itu, semua penumpang diselamatkan dan kemudian dibawa kembali ke Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah pada 6.21 petang.
"Selain JLM dan Maritim Malaysia, operasi itu turut membabitkan nelayan, operator feri, bot tunda dan orang awam di sekitar Kuala Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Astro AWANI melaporkan, feri yang membawa penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi itu terkandas di muara Kuala Kedah apabila kipasnya tersangkut pada tali sauh kapal.
Ini merupakan kejadian kedua membabitkan perkhidmatan tersebut selepas pada Ahad, feri yang membawa 547 penumpang dan kru dari Langkawi ke Kuala Kedah, terkandas di muara sama.
Menurut laporan, kejadian pada Ahad berlaku apabila kapten feri cuba mengelak tali sauh sebuah kapal yang ketika itu memasuki laluannya.