JKT diminta tambah baik sistem PBTPay

Bernama
Disember 14, 2022 10:00 MYT
Nga Kor Ming berkata penambahbaikan itu perlu, kerana pendigitalan sektor awam untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan kerja, telah menjadi trend utama dalam pembangunan global. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) diminta menambah baik PBTPay dalam tiga aspek iaitu meningkatkan pengalaman pengguna, mengukuhkan perlindungan keselamatan maklumat, dan penyediaan aktiviti untuk meningkatkan penggunaan laman web.
PBTPay merupakan portal pembayaran sepusat rasmi bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibangunkan oleh JKT, untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada orang awam membuat bayaran cukai taksiran, yuran lesen kerajaan tempatan dan kompaun secara dalam talian.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata penambahbaikan itu perlu, kerana pendigitalan sektor awam untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan kerja, telah menjadi trend utama dalam pembangunan global.
Berikutan itu, Nga berkata kementeriannya akan terus mempromosikan PBTPay untuk manfaat pengguna, selain memastikan lebih banyak majlis daerah dan bandar menyertai portal tersebut khususnya PBT di Sabah dan Sarawak.
"Setakat ini, 99 majlis daerah dan bandar di seluruh Semenanjung Malaysia telah mengambil bahagian dalam sistem PBTPay, dengan 2.4 juta pengguna berdaftar," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Nga berkata jumlah kutipan PBTPay juga menunjukkan peningkatan sebanyak 32 kali ganda, iaitu daripada RM5 juta pada 2020 kepada RM168 juta tahun ini.
-- BERNAMA
#PBTPay #JKT #portal pembayaran sepusat #Nga Kor Ming
;