JKR siapkan 59 projek pulih bangunan warisan tahun ini

Bernama
Ogos 22, 2024 14:45 MYT
Alexander (tengah) menerima cenderahati yang disampaikan oleh . Roslan (kiri) pada Program PENTAS 2024 di CREaTE JKR hari ini. Turut hadir Azhar (dua, kiri), Hasnol (dua, kanan) dan Sherliza (kanan). - Bernama
ALOR GAJAH: Sebanyak 59 projek pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan selesai dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya sepanjang tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata projek itu bukan sahaja akan merancakkan promosi tempat-tempat tersebut terutama di Melaka dan Pulau Pinang, malah diharap dapat menarik pelancong dari dalam dari luar negara.
"Terkini kita akan serahkan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 27 Ogos (minggu) depan, bangunan tersebut telah siap dipulihkan dan ini membuktikan kesungguhan semua pihak yang komited dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan," katanya kepada media selepas merasmikan Program Platform for Exploration: Technical and Design (PENTAS) 2024 di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia Datuk Roslan Ismail; dan Pengarah Bahagian Inovasi, Penyelidikan dan Pembangunan Kejuruteraan CREaTE JKR Ir. Sherliza Zaini Sooria .
Alexander berkata projek itu melibatkan kerja pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan antaranya di peringkat Persekutuan, negeri, khidmat nasihat serta pembangunan dan kajian oleh pelbagai unit dan agensi termasuk JKR.
Antara bangunan warisan terlibat ialah Istana Budaya, Menara Condong Teluk Intan dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau berkata program PENTAS yang berlangsung tiga hari bermula hari ini melibatkan 400 peserta termasuk pakar bidang teknikal sektor pembinaan bagi berkongsi pengalaman mengenai pengurusan aset, pemuliharaan warisan serta perancangan pembangunan melibatkan elemen warisan dan budaya.
"Ini merupakan bukti komitmen kementerian terhadap inisiatif untuk mengimbangi pembangunan negara melalui usaha pemeliharaan budaya dan warisan negara.
"Menerusi PENTAS, diharapkan strategi yang lebih bersepadu dan menyeluruh dalam memastikan pelaksanaan projek-projek yang melibatkan warisan adalah memenuhi jangkaan, berfokus dan berimpak untuk memberikan manfaat langsung kepada rakyat dan ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata usaha memelihara adat budaya, warisan dan seni sama penting dengan keupayaan teknikal yang merupakan pemangkin kepada pembangunan negara.
--BERNAMA
#JKR #bangunan warisan #Alexander Nanta Linggi #baik pulih
;