JKR pergiat usaha tangani masalah cerun

Harits Asyraf Hasnan
September 14, 2015 15:56 MYT
FADILLAH: Apa yang kita lakukan sebahagiannya perbelanjaan yang kita buat adalah untuk pelan sementara, untuk buat mitigasi supaya tidak akan berlaku runtuhan yang lebih besar. -Gambar fail
Peruntukan hampir RM400 juta yang diluluskan kerajaan sedang digunakan sepenuhnya untuk aktiviti mencegah runtuhan cerun di lebih 300 kawasan kritikal.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya kini mempergiat usaha mencegah, membaiki dan memulih cerun-cerun di sepanjang jalan Persekutuan dalam berdepan fenomena alam luar biasa pada masa akan datang.
Selain pelan mitigasi sementara, Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dipertanggungjawabkan dengan kerja baik pulih itu juga sedang melaksanakan pelan mitigasi kekal untuk kelestarian jangka masa panjang.
"Apa yang kita lakukan sebahagiannya perbelanjaan yang kita buat adalah untuk pelan sementara, untuk buat mitigasi supaya tidak akan berlaku runtuhan yang lebih besar dan pada masa sama kita juga ambil tindakan untuk mencari penyelesaian (mitigasi) jangka masa lama.
"Kita hanya mampu mengambil tindakan pencegahan, pembaikan dan pemulihan supaya kita dapat menangani semua risiko," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cerun Antarabangsa 2015 di sini hari ini.
Fadillah pada masa sama, turut mengakui faktor risiko yang dihadapi JKR pada masa kini lebih mencabar berbanding sebelumnya.
"Faktor risiko yang kita kena tangani sekarang lebih mencabar berbanding dahulu.
"Jumlah hujan yang turun lebih banyak, aliran air makin deras, pokok-pokok sudah makin kurang. Sebab itu kita kena minta kerjasama semua pihak," katanya.
Justeru, Fadillah mahu usaha mendepani cabaran fenomena alam yang luar biasa tidak harus diletakkan di bahu kerajaan pusat sahaja, sebaliknya perlu wujud kerjasama di antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk swasta.
Pada persidangan antarabangsa tiga hari itu, sebanyak 23 kertas kerja akan dibentangkan, termasuk dua kertas kerja khas.
#cegah runtuhan cerun #Fadillah Yusof #JKR #kawasan kritikal #memulih cerun #peruntukan
;