JKR dan kontraktor agresif pantau projek, elak kelewatan - Uggah
Fadilah Sulaiman
Januari 21, 2022 14:33 MYT
Januari 21, 2022 14:33 MYT
SAMARAHAN: Semua kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu agresif dalam menyelia pembinaan projek jambatan dan jalan utama di Sarawak bagi mengelak berlakunya kelewatan serta sebarang masalah.
Tegas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sebarang masalah yang timbul dan kelewatan perlu diselesaikan segera agar tidak berlarutan.
Dalam tinjauan ke beberapa tapak projek jambatan dalam wilayah tengah Sarawak, Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) memaklumkan isu utama yang dihadapi para kontraktor adalah kekurangan pekerja dan kelewatan peralatan.
"Saya mendengar taklimat terperinci mengenai kemajuan pembinaan oleh Pegawai JKR dan kontraktor. Banyak yang disuarakan seperti kekurangan pekerja untuk sesuatu projek.
"Saya berharap lebih banyak langkah akan diambil oleh perunding pemantauan projek ini serta pihak JKR terutamanya di peringkat awal pembinaan. Semua langkah perlu diambil untuk memastikan jadual pembinaan dipatuhi. Dalam taklimat yang diberikan kepada saya ada beberapa isu yang perlu ditangani,” katanya.
Tambah Uggah, JKR perlu menangani dan memantau dengan teliti projek-projek ini supaya tidak menghadapi sebarang masalah besar semasa pembinaan hingga melewatkan pelaksanaan projek.
Beliau memberi peringatan itu selepas melawat tapak pembinaan Jambatan Batang Lupar di Triso bernilai RM848 juta, Jambatan Batang Saribas 1 bernilai RM385 juta, Jambatan Batang Saribas 2 bernilai RM375 juta dekat Pusa, dan jambatan Batang Rajang bernilai RM321 juta dekat Sarikei semalam.