JKPPH dakwa Menteri Kanan Pendidikan gagal selami isu sebenar pendidikan

Hafizi Rosli
September 24, 2022 12:00 MYT
JKPPH mendakwa, pemansuhan UPSR dan PT3 dan peralihan kepada sistem Pentaksiran Bilik Darjah masih kabur arah tujunya dan merencatkan proses pendidikan di sekolah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mendakwa Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin gagal menyelami dan menyelesaikan isu sebenar pendidikan.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, antara isu utama dalam pendidikan adalah pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) serta guru-guru yang dibebani tugas bukan mengajar yang semakin bertambah.
JKPPH mendakwa, pemansuhan UPSR dan PT3 dan peralihan kepada sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) masih kabur arah tujunya dan merencatkan proses pendidikan di sekolah.
Ia sekali gus melemahkan motivasi murid-murid, tambahnya.
Katanya, isu beban tugas bukan mengajar dalam kalangan guru-guru perlu diselesaikan segera memandangkan mereka berdepan tekanan yang boleh melemahkan prestasi ketika mengajar.
Begitu juga, isu keciciran murid harus diambil tindakan bagi memastikan semua mereka layak mendapat pendidikan yang sewajarnya, menurut JKPPH.
JKPPH dianggotai lapan Ahli Parlimen termasuk bekas menteri pendidikan yang juga wakil rakyat Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.
Kenyataan JKPPH itu dikeluarkan susulan ucapan Menteri Kanan Pendidikan dalam acara Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan pada 23 Sept lalu.
#Pakatan Harapan #Maszlee Malik #pendidikan #Radzi Jidin
;