JKNT sedia katil tambahan tampung peningkatan kes influenza
Bernama
Julai 23, 2022 07:00 MYT
Julai 23, 2022 07:00 MYT
PERMAISURI: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyediakan katil tambahan bagi menampung kemungkinan berlakunya peningkatan kemasukan pesakit ke hospital disebabkan kes influenza.
Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata setakat ini belum berlaku kes kesesakan di enam buah hospitalnya dan jumlah katil yang ada masih mampu menampung jumlah pesakit.
"Secara keseluruhan kita ada sebanyak 1,733 katil di enam buah hospital seluruh negeri dan setakat ini kadar penggunaannya adalah sekitar 90 peratus, belum sampai 100 peratus.
"Tetapi dengan kemasukan 90 peratus ini, kita telah ambil tindakan penambahbaikan dan bersedia dengan katil tambahan sekiranya berlaku peningkatan kes influenza," katanya selepas Program Tanaman Bandar Antara Pejabat Pertanian dan Hospital Setiu di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Pertanian Terengganu Zulkefli Amin Yusof.
Selain itu Dr Kasemani berkata, jumlah kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) termasuk influenza di negeri ini juga masih terkawal dan hanya melibatkan lima peratus daripada jumlah penggunaan katil di hospital.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa bekalan ubat-ubatan di semua hospital dan klinik kesihatan negeri masih mencukupi untuk tempoh tiga bulan akan datang.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak panik dan berkunjung ke fasiliti kesihatan terdekat untuk mendapatkan rawatan dan bekalan ubat jika tidak sihat.
"Penggunaan ubat untuk URTI seperti demam, batuk dan selsema adalah paling tinggi berbanding rawatan lain.
"Tetapi tidak ada isu bekalan ubat kritikal dan tidak ada (situasi) yang membimbangkan (di Terengganu)," katanya.
-- BERNAMA