JKNT jejak penerima sijil vaksin palsu
Nur Fazlizai Ali
Januari 11, 2022 13:02 MYT
Januari 11, 2022 13:02 MYT
KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang mengenal pasti individu yang mendapatkan sijil digital vaksinasi dipercayai palsu menerusi seorang doktor di sebuah klinik swasta di Marang.
Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata pihaknya akan memberikan nasihat dan kaunseling kepada golongan berkenaan bagi memastikan mereka menerima suntikan vaksin sebagaimana yang sepatutnya.
Justeru pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak polis bagi mengesan kegiatan berkenaan.
Terdahulu tembelang seorang doktor yang disyaki menjalankan aktiviti mengeluarkan sijil vaksinasi COVID-19 palsu kepada golongan antivaksin terbongkar.
Ia susulan penahanan suspek yang berusia 51 tahun pada Sabtu lalu.
Jelas Dr Kasemani klinik swasta berkenaan dibenarkan untuk memberikan suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lalu.
Beliau berkata pihak masih menunggu hasil siasatan daripada polis sebelum tindakan lanjut diambil terhadap doktor dan klinik berkenaan.
Katanya lagi pendaftaran klinik serta lesen doktor berkenaan boleh dibatalkan sekiranya didapati bersalah.