JKNS tingkatkan kapasiti wad pesakit COVID-19 di Hospital Sibu - Dr Chin
Khairuddin Rushdi Ayuphan
Januari 13, 2021 12:02 MYT
Januari 13, 2021 12:02 MYT
SIBU: Jabatan Kesihatan Sarawak akan meningkatkan kapasiti wad di Hospital SIbu bagi menempatkan pesakit COVID-19.
Pengarahnya, Dr Chin Zin Hing berkata, pihaknya juga akan menggunakan Kem Belia Kemuyang, Sibu sebagai pusat kuarantin dan rawatan kes berisiko rendah
"Pihak JKNS juga merancang untuk membuka lebih banyak pusat kuarantin dan rawatan kes berisiko rendah untuk pesakit COVID-19 sehingga kita rasa ia mencukupi.
"Rancangan membuka lebih banyak pusat ini adalah kerana kami menjangkakan kes positif akan meningkat dan ia sebagai langkah awal," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Terdahulu, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting menyatakan Hospital Sibu mengalami masalah kekurangan wad untuk menempatkan pesakit COVID-19 selain mempertimbangkan lokasi lain.
Selain itu, Dr Chin turut menasihati orang awam yang mempunyai kontak dengan pesakit COVID-19 agar tampil menjalani saringan.
Malah, memandangkan Sibu dikategorikan sebagai zon merah dan terikat kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, beliau menggesa semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.