JKNS perkenal projek RAVO, perhebat vaksinasi outreach di Sabah
Astro Awani
Oktober 8, 2021 18:14 MYT
Oktober 8, 2021 18:14 MYT
SANDAKAN: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaksanakan projek Rapid Assessment and Vaccination Operation (RAVO) dalam usaha memperhebat program vaksinasi secara outreach di negeri itu.
Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, 25 kakitangan JKNS digerakkan bagi melakukan projek RAVO dengan bantuan pejabat kesihatan daerah, agensi kerajaan, dan wakil rakyat.
Jelasnya, 25 kakitangan dalam projek RAVO itu akan berperanan membantu program outreach sedia ada di setiap daerah termasuk pergi dari rumah ke rumah.
"Kita mulakan RAVO ini di Sandakan yang mana data yang kita dapati terdapat 151,200 individu dewasa belum menerima vaksin. Tugas kakitangan RAVO ini tidak akan bertindih dengan kakitangan pejabat kesihatan daerah sedia ada sebaliknya membantu mereka mencari golongan sasar dengan lebih berstrategi.
"Projek RAVO ini akan pergi ke daerah-daerah yang boleh mencapai tahap vaksinasi yang memuaskan seperti Sandakan, Tawau, Tongod, Kinabatangan, Nabawan dan Papar," katanya.
Selain itu, Dr Rose Nani berkata, projek RAVO ini penting memandangkan Sabah masih belum mencapai 80 peratus penduduk dewasa yang lengkap divaksin.
Katanya, pasukan RAVO dan pejabat kesihatan daerah dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) akan mencari sehingga terbukti rakyat di sesuatu kawasan sudah 100 peratus divaksinasi.
"Perkara ini bukan sahaja penting buat semua rakyat Sabah. Kita mahu Sabah capai 80 peratus ke atas dan kalau boleh 100 peratus supaya kita boleh mengadakan aktiviti ekonomi dan memberi kelangsungan kepada individu dan keluarga mereka," katanya.
Mengulas mengenai kadar vaksinasi, Dr Rose Nani berkata, setakat 6 Oktober, lebih 2.5 juta sudah menerima satu dos vaksin manakala 1.754 juta sudah melengkapi dua dos manakala 289,615 remaja sudah menerima satu dos vaksin.
Sementara itu, beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di Sabah akan ditutup secara berperingkat-peringkat dan Dr Rose Nani menjelaskan, hanya 13 PPV terpilih sahaja akan dibuka untuk tujuan vaksinasi.