JKNS hantar 19 kakitangan ke Sabah, bantu tangani penularan COVID-19

Astro Awani
Oktober 14, 2020 18:45 MYT
Menurut Timbalan Pengarah JKNS (Kesihatan Awam), Dr Rosemawati Ariffin berkata, antara pegawai terlibat termasuk pegawai kesihatan persekitaran, jururawat dan pemandu. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menghantar 19 orang kakitangan ke negeri Sabah bagi membantu mengekang penularan COVID-19 di negeri itu.
Menurut Timbalan Pengarah JKNS (Kesihatan Awam), Dr Rosemawati Ariffin, antara pegawai terlibat termasuk pegawai kesihatan persekitaran, jururawat dan pemandu.
“Kita melihat permohonan daripada Sabah melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebab penghantaran ini dilakukan atas arahan KKM.
“Pihak JKNS pastinya akan meneliti dan melihat kepada situasi semasa sama ada kita boleh terus menghantar bantuan bagi membantu mengekang penularan COVID-19 di sana,” katanya semasa sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Rabu.
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan kepada Sabah.
Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, semua keputusan bagaimanapun bergantung kepada arahan dan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“JPBN Sarawak sedia membantu sekiranya menerima arahan daripada MKN tetapi pada masa sama kita juga mesti melihat kepada kekuatan di negeri ini terlebih dahulu.
“Ini kerana kita tidak tahu apa yang mungkin terjadi pada masa yang akan datang,” jelas Uggah lagi.
#JKNS #JPBN Sarawak #Sarawak #Sabah #COVID-19 #Dr Rosemawati Ariffin #KKM #MKN #Douglas Uggah Embas
;