JKNPP beri kerjasama kepada polis kes doktor ditahan berkelakuan tidak senonoh
Bernama
Februari 27, 2025 20:53 MYT
Februari 27, 2025 20:53 MYT
Kes itu di bawah siasatan PDRM dan pihak JKNPP akan memberi sepenuh kerjasama dalam siasatan selanjutnya.
GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam kes seorang pegawai perubatan sebuah hospital di sini yang ditahan bagi membantu siasatan, kerana didakwa berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja semalam.
Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin berkata pihak JKNPP memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai perubatan itu.
"JKNPP ingin merujuk kepada kenyataan yang dimuat naik di laman media Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan tangkapan penjawat awam bersangkut kes kelakuan tidak senonoh di tempat kerja dan penjawat awam yang dinyatakan adalah pegawai perubatan yang sedang berkhidmat di fasiliti JKNPP.
"JKNPP ingin memaklumkan bahawa kes itu di bawah siasatan PDRM dan kami akan memberi sepenuh kerjasama dalam siasatan selanjutnya dan memandang serius serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata jabatan itu memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan sehingga dibuktikan.
Terdahulu, polis mengesahkan menahan pegawai perubatan berusia 43 tahun itu di sebuah hospital di sini kira-kira 9.30 malam tadi, selepas menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kejadian berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja.
-- BERNAMA