JKNMPP penting untuk kurangkan politik wang - Paul Low
Astro Awani
Ogos 14, 2015 21:20 MYT
Ogos 14, 2015 21:20 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) penting untuk mengurangkan politik wang.
"Mercu integriti sesebuah negara adalah institusi politik, jadi ini adalah apa yang diperlukan untuk memastikan pengurangan politik wang.
"Ia juga perubahan yang bagus dalam arena politik negara," kata Low ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Petang tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan JKNMPP bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.
Turut diumumkan adalah pelantikan Low sebagai Pengerusi dan Senator Datuk Seri Idris Jala sebagai Timbalan Pengerusi jawatankuasa tersebut.
"Kerana ia adalah proses konsultatif dan melibatkan beberapa pihak dari masyarakat sivil, badan bukan kerajaan (NGO), semua parti politik, ahli akademik dan lain-lain, jadi saya berharap semua akan bekerjasama dengan saya.
"Ini bukanlah politik. Ia satu keperluan untuk kebaikan negara," kata Low.
Jawatankuasa itu akan menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambah baikan undang-undang yang diperlukan dalam tempoh setahun dan seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
#Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik
#JKNMPP
#Najib Razak
#Paul Low
#PRU-14