'JKNMPP langkah perubahan positif politik negara' - Shahrir
Astro Awani
Ogos 15, 2015 19:48 MYT
Ogos 15, 2015 19:48 MYT
Pengerusi Majlis Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad melihat penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) merupakan langkah ke arah perubahan positif dalam arena politik negara.
Katanya, ia langkah terbaik yang menyatakan perjalanan dana politik selain laporan sumber kewangan mengenai isu berkenaan.
"Buat masa ini tiada peraturan undang-undang yang menyatakan bagaimana dana politik itu hendak diuruskan, macam mana hendak dilaporkan dan sebagainya," katanya semasa sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru di RnR Bistro, Johor Bahru.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan JKNMPP bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.
Katanya, pelan tersebut penting dalam menangani isu pembiayaan politik, khususnya pada masa ini tidak terdapat peraturan mengenai pembiayaan politik yang boleh menentukan sesuatu itu salah atau tidak meskipun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihan raya.
Dalam pada itu kata Shahrir, persoalan etika dana politik adalah berasaskan pemikiran dan nilai-nilai pada sesuatu masa.
"Rakyat perlu memahami perbezaan kedudukan seseorang itu dalam parti dan dalam kerajaan yang membolehkannya membuat sesuatu keputusan.
"Dahulu tiada, kita tidak boleh kata salah. Apa yang ditanya, beretika atau tidak, saya kata yang menjadi masalah ialah sistem politik, presiden dan perdana menteri ialah orang yang sama," jelasnya.
JKNMPP akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan dan Senator Datuk Seri Idris Jala sebagai Timbalan Pengerusi.
Jawatankuasa itu akan menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan dalam tempoh setahun dan seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.