JKNJ siasat wanita bersalin bersendirian di HSI
Sinar Harian
September 1, 2021 05:14 MYT
September 1, 2021 05:14 MYT
JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung paparan tular di Facebook bertarikh 31 Julai mengenai seorang pesakit wanita yang menyatakan dia melalui proses bersalin secara bersendirian di dewan bersalin Hospital Sultan Ismail (HSI).
Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu memaklumkan, pesakit terbabit berusia 36 tahun, mengandung anak keempat dengan usia kandungan 39 minggu.
"Pesakit telah hadir ke bilik saringan pada jam 5.33 pagi, 23 Julai lalu kerana mempunyai tanda-tanda awal hendak bersalin. Beliau merupakan kontak rapat kepada suami yang positif COVID-19.
"Pesakit telah diperiksa oleh pegawai perubatan dan didapati beliau di peringkat awal kelahiran (bukaan pangkal rahim 3 sentimeter) dan dimasukkan ke dalam bilik isolasi jam 10.18 pagi sementara menunggu keputusan ujian COVID-19 PCR.
"Pesakit diletakkan di dewan bersalin (bilik nombor dua) dengan pintu bilik sentiasa ditutup kerana pesakit merupakan kes positif COVID-19 dan bilik tersebut berada agak jauh dari kaunter jururawat," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook JKNJ pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, pegawai perubatan dan jururawat telah 'donning' dan melakukan pemeriksaan pada jam 4.26 petang di mana hasil ujian keputusan PCR COVID-19 pesakit ini didapati positif seterusnya keputusan untuk melahirkan anak melalui pembedahan telah dibuat oleh pakar yang bertugas atas panggilan.
"Pemeriksaan ketika itu mendapati bukaan pangkal rahim adalah empat sentimeter dan mengalami kontraksi yang tidak teratur. Pesakit kemudian telah dipersiapkan untuk menjalani pembedahan.
"Proses bersalin pesakit berlaku di luar jangkaan di mana ia berlaku lebih awal dari tempoh jangkaan bersalin yang dianggarkan enam jam lagi. Pesakit telah bersalin secara bersendirian dan bayinya didapati berada di atas katil pesakit.
"Proses 'donning' mengambil masa sebelum bantuan oleh anggota bertugas dapat diberikan kepada pesakit," katanya.
Mengulas dakwaan pesakit yang mendengar bunyi ketawa yang didakwa kakitangan hospital di luar bilik isolasi itu, Dr Aman berkata, ia berkemungkinan adalah daripada bunyi bising di bilik bersalin berhampiran yang sedang melakukan prosedur kelahiran bayi secara 'vacuum'.
Sementara itu, Dr Aman berkata, oleh kerana pesakit ini adalah positif COVID-19, beliau perlu ditempatkan di ruang isolasi yang tertutup.
Tegasnya, JKNJ akan menjalankan siasatan lebih terperinci mengenai kejadian terbabit dan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan.
Pada Selasa, tular di media sosial, dakwaan seorang wanita membuat hantaran di Facebooknya mendakwa bahawa dia terpaksa melahirkan anak seorang diri di bilik pengasingan khas bagi ibu hamil yang positif COVID-19 setelah panggilannya untuk meminta bantuan kakitangan hospital tidak dilayan.
Wanita itu memuat naik status berkenaan di akaun Facebooknya pada 31 Julai, namun hanya menjadi tular sejak Selasa.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.