JKNJ rampas ubatan tidak berdaftar bernilai RM1.13 juta
Siti Nur Aqilla Omar
September 15, 2022 23:28 MYT
September 15, 2022 23:28 MYT
JOHOR BAHRU: Sebanyak 335 jenis produk ubat-ubatan dan produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM1.13 juta dirampas dalam satu operasi 'Ops Nico' pada 8 September lalu.
Operasi itu dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerusi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF), Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Johor.
Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu berkata, rampasan itu dibuat hasil operasi 'Ops Nico' yang dijalankan berdasarkan pemantauan ke atas sebuah premis di banda raya ini, pada 8 September lalu susulan aduan orang awam.
"Premis kediaman ini telah dijadikan sebagai stor untuk menyimpan ubat-ubatan dan produk kesihatan tanpa kelulusan daripada KKM.
"Siasatan awal mendapati ubat-ubat dan produk kesihatan tidak berdaftar ini dijual secara berleluasa dalam talian di platform e-dagang Malaysia.
"Operasi melibatkan 12 Pegawai Penguatkuasa Farmas dari CPF Negeri Johor, selepas beberapa bulan membuat pemantauan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Aman, Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
Jika sabit kesalahan, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.
Katanya pihak KKM sentiasa melakukan aktiviti penguatkuasaan bagi premis-premis yang menjual produk-produk kesihatan seperti produk over-the-counter (OTC) dan tradisional.
"Langkah itu bagi memastikan hanya produk yang berdaftar dan tulen dijual di pasaran. Pihak KKM juga menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati semasa membeli sebarang produk kesihatan.
"Pastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran sentiasa mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya.
Untuk makluman, bagi ubat-ubatan dan produk kesihatan, pengguna perlu memastikan produk yang dijual mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) pada label produk sebelum membeli produk kesihatan tersebut.
Ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual seperti antibiotik hanya boleh dibekalkan oleh Ahli Farmasi yang berlesen dan Pegawai Perubatan yang berdaftar sahaja.
Orang ramai juga boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari https://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Famasi Negara di talian 03-7883 5400.
#JKNJ
#Ops Nico
#Jabatan Kesihatan Negeri Johor
#KKM
#Kementerian Kesihatan
#farmasi
#produk kesihatan
#ubat-ubatan
#kosmetik