JKNJ kekurangan hampir 2,800 staf kesihatan - MB Johor
Bernama
Mei 23, 2023 13:37 MYT
Mei 23, 2023 13:37 MYT
JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kekurangan hampir 2,800 staf kesihatan, khususnya doktor dan jururawat, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Seri Norazman Ayob.
"Terima kasih Ketua Setiausaha KKM (Memangku) yang sudi mendengar keluhan saya dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon tentang pekara ini.
"Adalah menjadi harapan saya agar pihak KKM dapat mempertimbangkan jawatan ini diisi dengan kadar segera bagi menampung keperluan serta menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat di Johor," katanya.
Menteri Besar itu berkata beliau juga meminta pihak KKM melihat cara yang lebih tuntas untuk mengurangkan kesesakan di hospital-hospital negeri ini, terutamanya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).
Beberapa foto mengenai pertemuan Onn Hafiz bersama Ling dan Norazman turut dikongsi di platform media sosial itu.
-- BERNAMA