JKNJ arah sebuah kilang ditutup, empat dikompaun kerana tidak patuh SOP

Bernama
Disember 22, 2020 22:56 MYT
Sebuah kilang di bandar raya ini diarahkan tutup tujuh hari bermula hari ini kerana didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan pengawalan COVID-19. - Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Sebuah kilang di bandar raya ini diarahkan tutup tujuh hari bermula hari ini oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kerana didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan pengawalan COVID-19 dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu.
Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu berkata kilang yang diarahkan tutup itu didapati tidak menyediakan pengimbas MySejahtera dan tiada penjarakan fizikal selain itu empat kilang masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati tidak mematuhi SOP antaranya tidak melakukan sanitasi dan tiada penjarakan fizikal melibatkan pekerja.
"Kilang industri pembuatan itu diarahkan ditutup selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya kepada Bernama selepas pemeriksaan terhadap 25 premis kilang menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu terbabit di sini hari ini.
Dr Aman berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu berkenaan disertai 20 pegawai dan anggota JKNJ, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) Negeri Johor.
-- BERNAMA
#kilang #tutup #Jabatan Kesihatan Negeri Johor #JKNJ #SOP #COVID-19
;