JKN Perak mulakan siasatan berhubung dakwaan doktor lakukan gangguan seksual di HRPB
Firdaus Azil
Mac 16, 2024 12:55 MYT
Mac 16, 2024 12:55 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengesahkan telah menerima sepucuk surat layang yang turut disebarkan kepada masyarakat awam baru-baru ini, yang mengandungi dakwaan tentang sekumpulan doktor yang melakukan gangguan seksual di tempat kerja.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Pengarahnya Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, surat tersebut diterima pihak JKN Perak melalui pos pada 28 Februari lepas.
Susulan dakwaan di dalam surat tersebut, beliau berkata, JKN Perak telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas pada 29 Februari, 2024.
“Keahlian Jawatankuasa ini juga terdiri daripada Pegawai-pegawai yang dilantik oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), KKM. Siasatan kini sedang dilaksanakan dengan pengumpulan bukti-bukti.
“KKM memandang pertuduhan ini sebagai sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja,” katanya lagi.
Menerusi surat layang tersebut, penulisnya mendakwa mereka adalah staf kesihatan di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB), Ipoh, dan sedang menjalani latihan di sebuah jabatan di hospital tersebut.
Mereka berkata, doktor tersebut didakwa menggunakan ugutan untuk memanjangkan tempoh latihan mereka, dan sering menggunakan kesempatan yang ada untuk mengganggu staf perempuan secara seksual.
Selain itu mereka mendakwa doktor berkenaan telah menerima bayaran rasuah bagi tujuan mendahulukan pesakit-pesakit tertentu, selain sering menggunakan peralatan ‘dressing’ untuk kegunaan peribadi di luar.
Penulis surat tersebut turut menamakan beberapa doktor lelaki lain, selain meminta mereka tidak lagi melakukan gangguan seksual kepada staf perempuan.