JKN nafi dakwaan penutup hidung, mulut di Hospital Pontian tidak mencukupi

Bernama
Februari 6, 2020 06:05 MYT
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook JKNJ, jabatan itu berkata dakwaan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pada Khamis menafikan dakwaan kononnya Hospital Pontian tidak mempunyai bekalan penutup hidung dan mulut yang mencukupi seperti yang tular dalam media sosial pada Khamis.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook JKNJ, jabatan itu berkata dakwaan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.
"Pihak JKNJ telah membuat laporan polis berkaitan kenyataan viral ini. Orang awam diminta tidak menyebarkan viral yang tidak sahih ini kerana ia akan mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat," menurut jabatan itu.
JKNJ turut mengingatkan bahawa penyebaran berita palsu sedemikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.
Dalam media sosial, tular mesej yang mendakwa Hospital Pontian tidak mempunyai penutup hidung dan mulut yang mencukupi sehinggakan ada pihak mahu menderma kepada hospital berkenaan.
-- BERNAMA
#bekalan penutup hidung dan mulut #dakwaan #Hospital Pontian #Jabatan Kesihatan Negeri Johor #JKN #media sosial
;