Pengarah JKN negeri, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, laporan terkini menunjukkan terdapat 30 pegawai perubatan bertugas di Jabatan Perubatan hospital berkenaan meliputi empat wad perubatan dengan purata tujuh pegawai bagi setiap wad.
Menurutnya, kadar penggunaan katil (BOR) di jabatan itu bagi tahun semasa pula merekodkan antara 90 hingga 120 peratus daripada jumlah keseluruhan 305 katil.
"Dengan kadar BOR tersebut, terdapat 25 hingga 33 pesakit dalam setiap wad dan secara purata seorang pegawai perubatan merawat antara tiga hingga empat pesakit pada satu-satu masa.
"Kekerapan tugas atas panggilan aktif setiap pegawai perubatan pula adalah empat hingga lima kali sebulan, sementara tugas atas panggilan pasif (iaitu pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum) adalah sebanyak dua hingga tiga kali sebulan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, dengan kadar itu, pada masa kini, beban tugas bagi pegawai perubatan yang merawat pesakit di wad adalah setara dengan hospital-hospital lain.
Katanya, perkara sama juga bagi kes kekerapan bilangan tugas atas panggilan dan dianggap tidak terlalu membebankan.
"Kementerian Kesihatan (KKM) dan JKN mengambil maklum laporan yang diterbitkan itu.
"Sesi libat urus antara pengarah hospital, ketua-ketua jabatan dan pegawai perubatan akan dilakukan secara berterusan untuk membantu mengatasi isu-isu berbangkit," katanya.
Untuk rekod, Hospital Seri Manjung merupakan sebuah Hospital Pakar Minor yang menyediakan 14 perkhidmatan kepakaran pelbagai bidang termasuk di Jabatan Perubatan.
Dalam laporan bertajuk 'I'm sorry we couldn't save your loved ones-Seri Manjung Hospital Medical Officer' mendedahkan bahawa isu kekurangan tenaga kerja di hospital tersebut memberi kesan mental dan fizikal terutama kepada pegawai perubatan bertugas atas panggilan.
Artikel yang disiarkan dalam bahasa Inggeris itu melaporkan, pegawai perubatan atas panggilan bertanggungjawab bermula jam 5 petang hingga 8 pagi keesokannya dan dalam tempoh tersebut perlu merawat sekurang-kurangnya 10 pesakit dengan setiap satunya mengambil masa rawatan antara 30 minit ke satu jam.
Isu kekurangan tenaga kerja dan bebanan tugas terbabit dikatakan telah berlarutan selama bertahun-tahun, namun tiada penyelesaian mengakibatkan doktor yang mempunyai kepakaran dan kebolehan beralih ke sektor swasta serta meneruskan kerjaya di luar bidang perubatan. - Sinar Harian