JKN Melaka nafi guru meninggal dunia akibat varian baharu COVID-19

Shuhada Abdul Kadir
Mei 21, 2021 19:20 MYT
JKN Melaka menolak dakwaan kononnya kematian guru wanita itu adalah akibat varian baharu COVID-19 memandangkan ia masih dalam siasatan.
AYER KEROH: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengesahkan kematian seorang guru matematik sebuah sekolah rendah di daerah Melaka Tengah seperti ditularkan baru-baru ini, adalah disebabkan COVID-19 namun ia dipercayai tiada kaitan dengan varian baharu virus tersebut.
Pengarahnya, Datuk Dr Ismail Ali berkata, pihaknya menolak dakwaan kononnya kematian guru wanita itu adalah akibat varian baharu COVID-19 memandangkan ia masih dalam siasatan.
“Merujuk kepada isu tular berkenaan kematian seorang guru di Melaka yang dikatakan akibat varian baharu COVID-19, hasil siasatan mendapati guru itu mula tidak sihat sejak 5 Mei lalu dan telah mendapatkan rawatan sebanyak dua kali di klinik swasta.
“Guru itu mengalami gejala batuk dan susah bernafas bermula pada 17 Mei 2021 dan pada 19 Mei 2021 jam 5.00 pagi, arwah ditemui tidak sedarkan diri dan mengalami kekejangan sebelum terus dihantar ke Hospital Melaka dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, ujian pengesanan COVID-19 dijalankan mendapati keputusannya adalah positif dan keadaannya bertambah tenat sebelum disahkan meninggal dunia jam 11.40 malam hari yang sama.
Terdahulu, berita kematian guru wanita itu tular di aplikasi WhatsApp apabila didakwa mengalami sesak nafas ketika menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Mesej yang tular itu mendakwa ujian calitan guru berkenaan positif COVID-19, selain kes itu turut dikaitkan dengan satu varian baharu di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berkata varian COVID-19 yang dikaitkan dengan guru berkenaan masih dalam siasatan dan dakwaan varian baharu tidak akan menunjukkan sebarang gejala, adalah tidak tepat.
“Pihak JKN Melaka ingin memaklumkan bahawa survelan genomik sampel COVID-19 yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) adalah untuk mengenal pasti dan mengesahkan varian virus berkenaan dan ia merupakan proses yang kompleks dan mengambil masa dua minggu.
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.
Tambahnya, masyarakat juga perlu berhenti menyebarkan sebarang berita tidak sahih dan setiap individu perlu lebih prihatin dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19.
#guru #COVID-19 #meninggal dunia #Matematik #varian baharu #Melaka Tengah #PdPR #KKM #Kementerian Kesihatan #WHO
;