JKN Kelantan siasat insiden pesakit warga emas terjatuh dari tingkat satu HRPZ II
Bernama
April 7, 2022 23:31 MYT
April 7, 2022 23:31 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memandang serius insiden seorang pesakit warga emas terjatuh dari tingkat satu bangunan Pusat Rawatan Harian (ACC) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) hari ini dan pihak pengurusan HRPZ II sedang menjalankan siasatan serta mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Lelaki warga emas berusia 66 tahun itu terjatuh dari tingkat satu di bangunan Pusat Rawatan Harian (ACC) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, pukul 10.40 tadi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Zaini Husin berkata ketika kejadian pesakit itu sedang mendapatkan rawatan di premis berkenaan.
"Code Blue telah diaktifkan dan pesakit telah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPZ II untuk rawatan kecemasan. Ketika ini, pesakit masih lagi diberi rawatan di jabatan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
-- BERNAMA