JKN Kedah minta henti tular video pesakit COVID-19 didakwa dibiarkan mati

Bernama
Ogos 31, 2021 11:23 MYT
JKN Kedah meminta agar penularan video yang memaparkan seorang pesakit COVID-19 yang didakwa dibiarkan mati di Hospital Sultan Abdul Halim dihentikan bagi menghormati keluarga si mati. Gambar fail
ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah meminta agar penularan video yang memaparkan seorang pesakit COVID-19 yang didakwa dibiarkan mati di sebuah hospital di Sungai Petani dihentikan bagi menghormati keluarga si mati.
Pengarah JKN Kedah Dr Othman Warijo berkata, pihaknya sangat kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang telah menyebarkan video berkenaan.
"Video mengenai pesakit lelaki yang jatuh dan meninggal dunia di dalam wad dan didakwa lewat mendapat bantuan petugas hospital itu berlaku di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
"Pesakit warga emas itu dimasukan ke wad HSAH pada 26 Ogos lalu selepas dirujuk oleh Pusat Penilaian COVID-19 Daerah Kuala Muda.
"Pesakit mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan mendapat jangkitan COVID-19 kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi, dan pesakit dilihat tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan.
"Pesakit dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda pesakit.
"Pada hari kejadian, setelah rondaan wad pagi selesai dan pegawai perubatan serta jururawat telah menanggalkan pakaian perlindungan diri (PPE) pada 1.45 petang.
"Pada 2.25 petang, petugas wad dimaklumkan oleh pesakit lain bahawa pesakit berkenaan telah jatuh dari katil.
"Pegawai perubatan bergegas memakai PPE lengkap dan terus memeriksa pesakit yang terbaring di lantai wad dan pemakaian PPE berkenaan mengambil masa kira-kira lima minit," katanya.
Dr Othman berkata, ketika pemeriksaan dilakukan pesakit didapati tiada lagi tanda-tanda hidup dan telah dinaikkan semula ke atas katil, namun disahkan meninggal dunia akibat 'severe COVID-19 pneumonia'.
"Pakar perubatan telah bertemu dengan ahli keluarga pesakit pada hari yang sama dan menjelaskan situasi sebenar kejadian.
"Ahli keluarga sememangnya telah maklum dengan keadaan pesakit yang kian merosot dan mereka menerima baik penjelasan yang diberikan oleh pihak hospital.
"Jadi, JKN berharap agar masyarakat dapat menghentikan penularan video berkenaan.
"JKN juga telah menjalankan siasatan lebih mendalam mengenai perkara ini dan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan," katanya.
-- BERNAMA
#pesakit dibiarkan mati #JKN Kedah #lewat dapat bantuan petugas hospital #Hospital Sultan Abdul Halim
;