JKMD garis tiga matlamat utama banteras dadah secara menyeluruh dan berkesan

Bernama
Oktober 23, 2023 05:15 MYT
Ahmad Zahid berkata tiga matlamat tersebut adalah tindakan menghalang penyeludupan dan pengedaran dadah; meluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan; serta meningkatkan daya tindak daripada bahaya dadah. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) yang bermesyuarat pada Isnin menggariskan tiga matlamat utama dalam mewujudkan 'pengubah keadaan' bagi membanteras gejala dadah secara menyeluruh dan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi JKDM berkata tiga matlamat tersebut adalah tindakan menghalang penyeludupan dan pengedaran dadah; meluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan; serta meningkatkan daya tindak daripada bahaya dadah.
Di bawah matlamat tindakan membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah, Ahmad Zahid berkata jalan-jalan tikus dan jeti haram di Perlis, Kelantan dan Kedah akan dihapuskan bagi menghalang kemasukan dadah haram ke dalam negara.
"Selain itu, kawalan lebih ketat perlu dilaksanakan dengan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pengedar dadah dan pemilikan dadah," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Mesyuarat JKMD Bilangan 2 Tahun 2023 itu.
Ahmad Zahid berkata pengukuhan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan diberi perhatian serius oleh kerajaan bagi memastikan JSJN berupaya membanteras pengedaran dadah dengan lebih sistematik dan komprehensif.
Berkaitan aspek bekalan dadah yang mudah diperoleh khususnya secara dalam talian, beliau berkata kerajaan sedang meneliti keperluan mewujudkan peruntukan undang-undang yang boleh mengawal selia semua platform e-dagang bagi membanteras pembelian dan penghantaran dadah melalui aplikasi dalam talian.
Mengenai matlamat meluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan, Ahmad Zahid berkata dua aspek utama iaitu pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan pindaan jadual Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7), perlu diberi perhatian.
"Sekiranya akses ini dapat dilebarkan, usaha mengalihkan penyalahguna dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada rawatan dan pemulihan serta merawat pulih penyalah guna bahan seperti ketum dan gam dapat dilaksanakan.
"Usaha ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stigma dan kesan pemenjaraan kepada penyalah guna dadah dan bahan," katanya.
Menyentuh mengenai matlamat untuk meningkatkan daya tindak masyarakat daripada bahaya dadah, Ahmad Zahid berkata pelan strategik dan komunikasi yang komprehensif akan disediakan untuk meningkatkan keterlibatan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pencegahan gejala dadah.
"Penerapan daya tindak segera masyarakat dilihat berupaya memberi pencegahan awal tentang bahaya dadah kepada masyarakat dengan cara mendidik golongan berisiko melindungi diri daripada terjebak dengan gejala dadah," katanya.
-- BERNAMA
#golongan berisiko #gejala dadah #mengurangkan stigma #pencegahan awal
;