JKM tempatkan 152 pegawai psikologi di kawasan banjir - Nancy Shukri

Bernama
Disember 4, 2024 16:17 MYT
Nancy (tiga kanan), Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid ketika melawat rumah penginapan Better Brighter Anjung Kasih YKN-TNB hari ini. - Foto BERNAMA
MELAKA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempat 152 pegawai psikologi di kawasan terjejas banjir bagi membantu memulihkan emosi dan mental mangsa terlibat.

Ringkasan AI
  • Penempatan pegawai psikologi: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan 152 pegawai psikologi di kawasan terjejas banjir untuk membantu memulihkan emosi dan mental mangsa.
  • Bantuan Kementerian Kesihatan: Kementerian Kesihatan menggerakkan pasukan Inisiatif Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MPHSS) untuk memberikan bantuan psikologi kepada mangsa banjir.
  • Pengurangan jumlah mangsa banjir: Jumlah mangsa banjir berkurang kepada 65,899 orang berbanding 67,453 orang malam sebelumnya, dengan situasi yang beransur pulih di Terengganu, Perak, dan Kedah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata banjir yang berlaku pasti memberi kesan kepada mental dan emosi mangsa.
"Dari segi pegawai, kita ada 152 orang terlibat dalam psikososial selain 1,047 sukarelawan yang menyokong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara-TNB Hospital Melaka di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.
Sementara itu, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan turut menggerakkan pasukan Inisiatif Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MPHSS) bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dari segi emosi serta mental akibat Monsun Timur Laut tahun ini.
"MHPSS menjadi barisan hadapan kita (Kementerian Kesihatan) dalam memberi bantuan psikologi melalui sesi psychological first aid (PFA)," katanya.
Selain itu katanya, kementerian juga memberikan pendidikan psikologi kepada mangsa banjir.
"Di samping itu, kita juga menjalankan sesi relaksasi dan sebagainya," katanya.
Setakat 9 pagi tadi, jumlah mangsa banjir menunjukkan pengurangan kepada 65,899 orang berbanding 67,453 orang malam tadi susulan situasi yang beransur pulih di tiga negeri iaitu Terengganu, Perak dan Kedah, manakala angka kematian akibat bencana itu kekal tujuh orang.
-- BERNAMA
#pegawai psikologi #ditempatkan di kawasan banjir #Nancy Shukri #Jabatan Kebajikan Masyarakat #Banjir 2024 #monsun timur laut
;