JKM teliti garis panduan ketatkan permohonan operasi rumah jagaan - Rina Harun
Shuhada Abdul Kadir
Julai 17, 2021 17:55 MYT
Julai 17, 2021 17:55 MYT
REMBAU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang meneliti beberapa garis panduan berkaitan kriteria kelayakan hak jagaan serta pengoperasian pusat jagaan atau rumah kebajikan, sebelum dibentangkan dalam masa terdekat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah itu bagi menambah baik garis panduan sedia ada sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini di pusat-pusat jagaan.
"Beberapa garis panduan itu termasuk untuk perketatkan kriteria Orang Yang Layak dan Sesuai (menjaga kanak-kanak) dan beberapa perkara lain.
"Sudah pasti bila kami nak menambah baik garis panduan, kami mengambil kira bukan sahaja (pembabitan) JKM tetapi keadaan semasa dan daripada kementerian lain selain agensi berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kepada anak-anak bekas penghuni rumah jagaan di Kuala Lumpur yang dipercayai menjadi lokasi kes penderaan seorang remaja kurang upaya (oku) dikenali sebagai Bella di rumah kanak-kanak Rembau, pada Sabtu.
Dalam pada itu Rina berkata, setakat ini sebanyak 1,828 pusat jagaan berdaftar direkodkan dibawah JKM melibatkan jagaan kanak-kanak, OKU dan juga warga emas.
Ujarnya, pusat-pusat jagaan ini sentiasa dipantau oleh pegawai JKM dari semasa ke semasa dan masyarakat perlu memainkan peranan untuk segera membuat laporan sekiranya mengesan mana-mana kejadian membabitkan penderaan lebih-lebih lagi di premis-premis yang dijadikan rumah kebajikan tanpa lesen yang sah.
Katanya, dalam tempoh Januari hingga Mei lalu sahaja, 2,461 kes penderaan melibatkan kanak-kanak dilaporkan dan kebanyakannya dilakukan oleh orang yang dikenali termasuk ahli keluarga dan penjaga.