JKM sedia makanan hanya pada hari pertama PPS dibuka

Bernama
Januari 6, 2024 21:00 MYT
Norazman berkata pemberian makanan itu bertujuan memudahkan penyediaan makanan oleh JPBD pada hari berikutnya. - Gambar Bernama
KLUANG: Pemberian makanan bungkus oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara hanya akan diberi pada hari pertama PPS dibuka.
Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Norazman Othman berkata pemberian makanan itu bertujuan memudahkan penyediaan makanan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) pada hari berikutnya.
"Semua tindakan penyediaan makanan kepada mangsa adalah di bawah pengurusan JPBD yang diketuai Pegawai Daerah masing-masing, sama ada secara gotong-royong di PPS atau disediakan di tempat lain.
"Tiada lagi bekalan makanan bungkus seperti sebelum ini. Jadual menu dan waktu makan di PPS pula akan ditentukan jawatankuasa berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di PPS Dewan MPK Kahang di sini hari ini.
Jelas beliau tinjauan pihaknya di PPS itu mendapati bekalan makanan amat memuaskan dan boleh dimakan oleh semua peringkat umur.
Kata Norazman lagi, bekalan makanan turut diagih kepada petugas di PPS namun keutamaan diberikan kepada mangsa banjir.
"Selain makanan disediakan JPBD, kami juga menerima makanan tambahan seperti roti, biskut dan lain-lain makanan daripada masyarakat setempat.
"Namun, sekiranya ada arahan daripada Kementerian Kesihatan untuk penyediaan makanan bungkus bagi mengekang penularan wabak COVID-19, ia perlu dilaksana mengikut prosedur ditetapkan," katanya.
Sementara itu, seorang mangsa banjir dari Kampung Contoh di sini, Abd Rahman Mahadi, 60, memberitahu dia berpuas hati dengan bekalan makanan yang dibekalkan kepada mangsa banjir.
"Makanan dihantar ikut waktu dan pelbagai menu disediakan membuatkan kami di sini rasa selesa sepanjang berada di PPS.
-- BERNAMA
#jkm #PPS #JPBD #mangsa banjir
;