JKM salur bantuan segera kepada dua beranak hidup dalam sampah, najis di Ipoh
Bernama
Januari 17, 2024 23:10 MYT
Januari 17, 2024 23:10 MYT
IPOH: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kinta akan meluluskan dua bentuk bantuan berjumlah RM900 sebulan kepada dua beranak yang hidup dalam serba kedaifan di sebuah rumah flat dipenuhi sampah sarap dan takungan najis di Taman Silibin di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata bantuan skim Bantuan Am Negeri berjumlah RM400 akan diberikan kepada Erwan Dahari, 46, serta skim Bantuan Warga Emas RM500 kepada ibunya Miram Kadir, 77.
Beliau berkata pihak PKMD Kinta juga telah menyerahkan tabung bantuan segera (TBS) kepada Erwan yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) mental.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Puteri Kebajikan akan mengenal pasti rumah sewa yang lebih sesuai untuk dua beranak tersebut.
"Berdasarkan bantuan JKM tersebut berjumlah RM900 sebulan termasuk bantuan Baitulmal sebanyak RM500 yang diterima warga emas itu membolehkan dua beranak itu tinggal di tempat yang lebih selesa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Salbiah berkata Erwan mengalami masalah kemurungan di tahap minimum dan tidak membenarkan ibunya dimasukkan ke rumah kebajikan serta sanggup menjaga ibunya.
Media sebelum ini melaporkan dua beranak itu tinggal di dalam rumah yang dipenuhi sampah sarap termasuk takungan najis selain rumah itu dilimpahi dengan air di sepanjang ruang masuk rumah yang didiami sejak tujuh tahun lepas.
Menurut laporan, Erwan yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu berkata beliau sanggup berhenti kerja di sebuah kilang untuk menjaga ibunya yang sakit tua dan sudah nyanyuk.
Erwan berkata mereka hanya bergantung kepada bantuan Baitulmal RM300 sahaja dan ia tidak mencukupi kerana perlu membayar sewa rumah berjumlah RM250 selain perlu membayar bil utiliti seperti air dan elektrik serta membeli keperluan makanan.
-- BERNAMA