JKM perlu kerap lakukan lawatan mengejut ke atas taska - Suhakam

Rahimah Abdullah
April 9, 2023 16:26 MYT
Pegawai JKM perlu kerap melakukan lawatan mengejut ke atas taman asuhan kanak-kanak bagi memastikan premis berkenaan mematuhi garis panduan dan kriteria yang ditetapkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu kerap melakukan lawatan mengejut atau spot check ke atas taman asuhan kanak-kanak (taska) bagi memastikan premis berkenaan mematuhi garis panduan dan kriteria yang ditetapkan.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, langkah itu penting selain melakukan pemantauan berkala yang dilakukan ke atas mana-mana taska yang berdaftar dengan jabatan itu.
"Kalau lebih had bilangan anak-anak asuhan, siapa nak tahu. Kalau perkara itu bukan hanya perlu dilihat melalui pemantauan berkala, namun mesti ada lawatan mengejut, baru tahu kita tahu ia memenuhi kriteria ditetapkan.
"Jangan pergi (memantau) semasa nak daftar sahaja, dan kemudian nak memperbaharu lesen barulah pergi melawat sekali. Sudah tentulah kalau melawat dimaklumkan, mereka akan memenuhi kriteria sebab nak sambung lesen itu. Jadi, saya rasa perkara seperti melakukan lawatan mengejut itu perlu dilakukan dari semasa ke semasa," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Sementara itu, Prof. Noor Aziah turut melihat keperluan menambah taska di tempat kerja bagi memudahkan ibu bapa yang bekerja serta menjamin keselamatan kanak-kanak.
Dalam masa sama, kerajaan disaran memberi perhatian penuh terhadap usaha berkenaan termasuk menyediakan peruntukan tertentu bagi menyediakan fasiliti berkenaan untuk golongan pekerja.
"Saya rasa taman asuhan kanak-kanak di tempat kerja perlu ditambah lagi peruntukan. Tempat asuhan ini tak banyak, sedangkan seorang ibu memerlukannya, dan kerajaan perlu beri perhatian penuh mengenai isu ini, sebab keselamatan kanak-kanak itu penting agar dan ibu bapa dapat bekerja dengan tenang," ujarnya lagi.
#jkm #Kanak-kanak #dera #taska #Noor Aziah Mohd Awal
;