JKM beri kaunseling mangsa terselamat kejadian tanah runtuh di Tongod

Bernama
April 5, 2017 07:41 MYT
Seorang anggota pasukan penyelamat melintasi jambatan kayu usang yang rosak teruk akibat banjir lumpur pada Sabtu yang melanda Ladang Kelapa Sawit Sen Fu Tongod Kinabatangan, 3 April, 2017. --fotoBERNAMA
Pegawai kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberikan kaunseling kepada dua mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Ladang Sen Fu, Tongod, Kinabatangan, Sabtu lepas.
Pegawai JKM Daerah Tongod Nuslindah Imbaran berkata dua mangsa berkenaan adalah Abdul Bin Kahalayan, 50, dan anak lelakinya Julaslam, 19.
Katanya kaunseling diberikan oleh seorang kaunselor JKM Bahagian Sandakan ketika melawat Abdul dan anaknya di Kampung Pinangah, Tongod, semalam.
Kaunseling diberikan bagi mengurangkan rasa trauma kepada mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh itu, katanya kepada Bernama, hari ini.
Tiga terselamat dalam kejadian itu termasuk isteri Abdul, Zaleha Mandaya, 40, yang kini menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan.
Nuslindah berkata pihaknya bersama sukarelawan JKM Bahagian Sandakan juga mengagihkan sumbangan pakaian terpakai, air minuman dan makanan kering kepada Abdul.
Menurutnya bantuan susulan kepada keluarga mangsa yang terselamat akan diagihkan bergantung kepada keperluan semasa.
Pada kejadian 1 April lepas, banjir lumpur akibat tanah runtuh menghempap tiga rumah pekerja di ladang kelapa sawit itu menyebabkan lapan penghuni rumah berkenaan hilang dihanyutkan banjir lumpur.
Sehingga semalam, lima mayat mangsa yang hilang telah ditemukan di sungai Pinangah oleh pasukan mencari dan menyelamat.
-- BERNAMA
#Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm #kaunseling #kaunselor #Sandakan #tanah runtuh #Tongod