JKM ambil hak jagaan sementara dua adik kanak-kanak lemas dalam tong dipercayai didera
Shuhada Abdul Kadir
Januari 31, 2021 18:25 MYT
Januari 31, 2021 18:25 MYT
AYER KEROH: Dua adik kepada kanak-kanak malang yang didakwa lemas dalam tong dan dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini petang Jumaat kini dibawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar, berkata JKM Melaka akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan sementara terhadap dua beradik berkenaan.
Katanya, permohonan terhadap dua beradik masing-masing berusia dua dan empat tahun itu akan dibuat mengikut Seksyen 17(1)(j) Akta Kanak-Kanak 2001 pada esok.
“Dia ada akta yang boleh kita ambil memandangkan kita tengok nenek dia juga sudah berusia dan perlu menjaga kakak mangsa yang berusia sembilan tahun.
“Takkan dia nak jaga pula adik-adik yang kecil ini, kita takut dia terabai dari segi susu, pakaian dan penjagaan diri. Jadi wajarlah JKM ambil tindakan sebegini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di rumah inap desa yang disewa keluarga angkat kanak-kanak berkenaan di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, di sini.
Terdahulu Astro AWANI melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa berusia 38 tahun yang mengatakan anaknya itu lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.
Siasatan pihak polis bagaimanapun mendapati, hasil pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
#jkm
#lemas dalam tong
#kanak-kanak didera
#Taman Krubong Jaya
#hak penjagaan
#Exco
#Datuk Latipah Omar