JKKP dalam peringkat akhir wajibkan Garis Panduan OSH di Industri Pembinaan

Fareez Azman
September 21, 2020 13:21 MYT
Ketua Pengarah JKKP, Omar Mat Piah menyatakan pihaknya dalam peringkat akhir mewajibkan garis panduan itu. Gambar: Astro Awani
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) dalam peringkat akhir kajian bagi mewajibkan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017.
Menurut Ketua Pengarahnya, Omar Mat Piah, garis panduan itu akan mewajibkan setiap pihak termasuk pereka bentuk, pemaju dan kontraktor untuk mengikuti penilaian risiko di kawasan pembinaan.
"Kita ada program khas mengenai industri pembinaan, ia salah satu inisiatif yang kita (JKKP) sedang laksanakan. Kita ada garis panduan Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017.
BACA: Konkrit hempap kereta: Kerja pembinaan SUKE dihenti serta-merta
BACA: Konkrit hempap kereta: KKR arah tindakan tegas diambil
"Pendekatan dalam bentuk garis panduan ini hanya dikuatkuasakan secara sukarela ketika ini. Tetapi kita dalam proses peringkat akhir untuk dijadikan sebagai peraturan wajib," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Mat Piah, perbincangan telah diadakan dengan Pejabat Peguam Negara dan pelaksanaan akan dikuat kuasa dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan insiden kemalangan di tapak pembinaan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) melibatkan sebuah kenderaan pada 19 September lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa yang memandu kenderaan jenis Proton Saga dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan selepas serpihan struktur binaan menghempap kenderaannya.
#garis panduan #Industri Pembinaan #Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan #JKKP #kemalangan #Ketua Pengarah #Kontraktor #mangsa #OSH #Peguam Negara #Pengurusan pembinaan #Penilaian risiko #Pereka bentuk
;