JKKN daftar 43 karya inspitari dengan MyIPO

Bernama
November 6, 2023 04:20 MYT
Mohd Amran hadir pada majlis penyerahan Sijil Pengiktirafan Karya Inspitari JKKN di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur, 5 Nov 2023. - Foto Facebook MyIPO
KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah mendaftarkan sebanyak 43 karya Inspitari dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris dalam kenyataan berkata penyerahan Sijil Pengiktirafan Karya Inspitari dari 2010 hingga 2018 itu berlangsung pada Majlis Inspitari 2023 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Nov lepas.
Beliau berkata inspitari anjuran JKKN merupakan program dwitahunan yang memberi peluang kepada koreografer JKKN seluruh Malaysia menghasilkan karya baharu dalam tarian.
"Objektifnya adalah bagi memperbanyakkan koleksi tarian baharu yang unik, segar dan kaya identiti Malaysia. Ia juga dapat meningkatkan daya kreativiti jurutari dan artis tari setiap Kumpulan Kesenian JKKN.
"JKKN akan terus komited dalam usaha mencungkil dan menggali khazanah seni budaya negara yang terdapat di seluruh negara," katanya.
Pada majlis itu JKKN turut memberi penghargaan kepada para penari terlibat menerusi dua anugerah iaitu Anugerah Karya Terbaik Inspitari 2023 dan Anugerah Tik Tok Karya Inspitari Sepanjang Zaman.
Anugerah Karya Inspitari 2023 Terbaik menjadi milik JKKN Johor dengan persembahan Tari Hulu Peta hasil karya kreatif koreografer Hamly Shah Ramli, manakala Anugerah Tik Tok Karya Inspitari Sepanjang Zaman turut dirangkul JKKN Johor menerusi tarian Orang Asli Seletar 'Ketam Bangkang'.
-- BERNAMA
#MyIPO #daftar karya Inspitari #JKKN #inspitari
;