JKKN akan persembahkan tarian Mak Yong ikut syariah

Bernama
April 13, 2019 00:29 MYT
Tarian Mak Yong yang juga tarian warisan di Kelantan diharap dapat terus kekal dilaksanakan. - Gambar hiasan
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan akan mengadakan persembahan tarian Mak Yong mengikut syariah 25 April ini sempena program Seni@Kelantan.
Pengarah JKKN Kelantan Mohd Raizuli Jusoh berkata persembahan berlangsung di Kompleks JKKN Kelantan itu juga akan dinilai, bagi membolehkan tarian warisan berkenaan kekal dapat dipersembahkan di negeri ini.
Beliau berkata antara panel penilai termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Dewan Ulamak Negeri.
Mohd Raizuli berkata antara penegasan diberikan kerajaan negeri termasuk tiada penglibatan pelakon wanita dalam persembahan dan juga tiada bacaan jampi.
"Kita yakin dan percaya, apabila kita ikuti segala yang ditetapkan mengikut syariah dalam persembahan ini, tarian warisan ini dapat terus kekal dilaksanakan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Seni@Kelantan di Kompleks JKKN Kelantan di sini, malam tadi.
Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan negeri akan membenarkan persembahan tarian Mak Yong dilakukan sekiranya mematuhi syariah yang ditetapkan.
-- BERNAMA
#JKKN #mak yong #Mohd Raizuli Jusoh #Seni Kelantan #syariah #tarian