JKKMAR setuju prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dikaji - Tun Mahathir
Fareez Azman
Januari 7, 2020 12:29 MYT
Januari 7, 2020 12:29 MYT
Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju untuk mengkaji prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk berhubung urusan penamatan jawatan Ketua Pesuruhjayanya.
Menurut Perdana Menteri, mesyuarat JKKMAR secara prinsip bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan SPRM itu.
“JKKMAR secara prinsip bersetuju dengan cadangan SPRM supaya urusan penamatan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat melalui proses perlembagaan dengan membuat pindaan undang-undang berkaitan.
“JKMMAR memutuskan supaya satu kajian dibuat bagi mengkaji prosedur pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM turut dibuat melalui perlembagaan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat JKKMAR di Putrajaya hari ini.
Ujar Tun Mahathir lagi, kajian itu bagi mengelakkan campur tangan kerajaan dalam urusan pelantikan serta menjamin ketelusan dan kebebasan Ketua Pesuruhjaya itu daripada mana-mana pihak.
Mesyuarat tambahnya turut bersetuju tindakan pemecatan terhadap individu yang memegang jawatan tertinggi SPRM itu perlu dibuat melalui proses perlembagaan.