JKKK diberi tugas urus projek baik pulih PPRT - Ismail Sabri

Bernama
Januari 16, 2017 23:45 MYT
ISMAIL: JKKK kini diberi tanggungjawab untuk mengurus projek membaik pulih PPRT, yang sebelum ini dilaksanakan kontraktor. - Gambar fail
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kini diberi tanggungjawab untuk mengurus projek membaik pulih Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), yang sebelum ini dilaksanakan kontraktor.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek membaik pulih itu akan dilaksanakan secara gotong-royong oleh JKKK bersama-sama penduduk kampung.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira margin keuntungan yang diambil kontraktor dalam melaksanakan kerja baik pulih itu sebelum ini.
"Kalau kita serah kepada kontraktor RM10,000 hingga RM15,000 atau kurang, kita dapati margin keuntungan telah diambil kontraktor menjadikan baki untuk membaik pulih semakin berkurang.
"Kadang-kadang, ia bertentangan dengan tujuan kita membaik pulih rumah kerana margin keuntungan yang diambil. Kadang-kadang, rumah itu tidak seperti yang kita harapkan apabila siap (dibaik pulih)," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan JKKK di sini, pada Isnin.
Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet Disember lepas.
Selain itu, katanya JKKK diberi peranan untuk memantau projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di kampung.
Projek pembinaan jalan kampung, membaik pulih fasiliti awam dan taman didikan kanak-kanak (Tadika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) antara projek yang kerap dilaksanakan di peringkat kampung dan memerlukan pemantauan termasuk aspek status projek berkenanan.
"Peranan itu mampu membantu kerajaan untuk mengenal pasti projek-projek yang mengalami masalah atau terbengkalai," katanya dan memberitahu bahawa laporan pemantauan status itu perlu diserahkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sekurang-kurang sebulan sekali. -- BERNAMA
#Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #JKKK #Kemas #pprt #tadika