JKJAV akan syor vaksinasi percuma kepada pekerja asing - Khairy

Umavathi Ramayah
Januari 5, 2021 17:24 MYT
Khairy berkata, kegagalan memvaksin pekerja asing hanya akan meletakkan rakyat tempatan dalam risiko. - Gambar hiasan/ AP
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan mengemukakan beberapa syor kepada Kabinet termasuk vaksinasi percuma kepada pekerja asing di Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kegagalan memberi vaksin kepada pekerja asing hanya akan meningkatkan risiko kepada rakyat tempatan.
"Ia belum dimuktamadkan lagi... Kita akan mengadakan mesyuarat dalam beberapa minggu lagi, di mana kita akan menjemput Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar.
"Kita akan membincangkan untuk memberi vaksin percuma kepada pekerja asing atau tidak... kita telah membincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang lalu dan Kabinet meminta JKJAV untuk membuat syor berkenaan," katanya pada sidang media mengenai perkembangan perolehan vaksin COVID-19 di Parlimen di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu Khairy menjelaskan, sekiranya kerajaan mengenakan bayaran untuk suntikan vaksin kepada pekerja asing, kemungkinan besar mereka tidak akan tampil berbuat demikian memandangkan ia bukan perkara yang wajib.
"Bayangkan kita hanya memberi suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia dan tidak kepada tiga juta pekerja asing. Kita masih dalam zon risiko.
"Prinsip saya cukup mudah, kita perlu memvaksin pekerja asing bagi memastikan kita selamat.
"Katakan kita mengenakan bayaran atau majikan perlu bayar, ia adalah satu halangan kepada mereka kerana mereka mungkin memilih untuk tidak disuntik kerana tidak wajib," ujarnya.
[SIDANG MEDIA] Menteri Sains, Teknologi & Inovasi Khairy Jamaluddin
#Khairy Jamaluddin #rakyat Malaysia #pekerja asing #Kementerian Dalam Negeri #COVID-19 #vaksin #Kementerian Luar #Kementerian Sumber Manusia #kabinet
;