JKDNKA tahan 392 individu sejak Januari hingga Oktober tahun ini
Afiezy Azaman
Oktober 21, 2023 10:20 MYT
Oktober 21, 2023 10:20 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 392 individu termasuk 74 warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyeludupan barangan tidak bercukai kastam dan penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi di seluruh negara.
Ini membabitkan 165 serbuan yang dijalankan Wildlife Crime Bureu/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dari Januari hingga Oktober tahun ini.
Menurut Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Hazani Ghazali, keseluruhan rampasan bernilai RM215,565,308.87.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 312 warga tempatan termasuk 21 wanita manakala warga asing melibatkan 74 individu termasuk 10 wanita," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Sehubungan itu Hazani berkata, PDRM melalui JKDNKA sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam dan penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan dipelihara.
Tegasnya, operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain akan diteruskan dari semasa ke semasa.
"Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya," ujarnya.