JKDM tumpas sindiket seludup rokok bernilai lebih RM1.7 juta

Bernama
November 22, 2024 19:15 MYT
Mohd Asri(dua, kanan) menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas pada sidang media berhubung sindiket penyeludupan rokok di Ibu Pejabat JKDM Pahang hari ini. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menumpaskan sindiket penyeludupan rokok bernilai lebih RM1.7 juta menerusi operasi berasingan yang dijalankan di Pahang dan Melaka.
Pengarahnya Mohd Asri Seman berkata dalam operasi pertama sekitar 6.50 pagi pada 22 Okt lepas, pihaknya telah memeriksa sebuah lori di Batu 93, Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob, Lebuhraya Kuantan Segamat, Muadzam Shah, Rompin.
"Menyedari kenderaannya dikejar, pemandu yang disyaki sedang menghala ke selatan tanah air itu telah meninggalkan lori jenis bonded berkenaan dengan enjin masih hidup di tepi jalan dan melarikan diri.
"Hasil pemeriksaan dalam lori tersebut telah menemukan sejumlah kotak berwarna coklat yang mengadungi 1,680,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM1.12 juta termasuk cukai dan duti," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata sindiket berkenaan menggunakan taktik bergerak pada waktu pagi bagi mengaburi pihak berkuasa dan rokok berkenaan disyaki untuk diedarkan dalam pasaran di selatan tanah air.
Sementara itu dalam operasi kedua pada 4.15 petang 3 Nov, Mohd Asri berkata pihaknya menemukan 897,800 batang rokok melibatkan cukai dan duti dianggarkan bernilai RM599,730 di sebuah gudang dua tingkat di Pusat Perindustrian Alor Gajah, Melaka.
"Taktik sindiket ini menggunakan premis seperti gudang untuk menyimpan rokok yang tidak berkastam dan siasatan lanjut berhubung pemilik premis sedang dijalankan," katanya.
Kes berkenaan masing-masing disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Mohd Asri menyeru orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan, khususnya rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan dengan menyalurkan maklumat menerusi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau ke pejabat kastam terdekat.
-- BERNAMA
#Jabatan Kastam Diraja Malaysia #sindiket penyeludupan rokok #Kuantan #Mohd Asri Seman
;