JKDM tumpas sindiket penyeludupan, rampasan RM5.84 juta
Bernama
Februari 14, 2024 20:12 MYT
Februari 14, 2024 20:12 MYT
MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka menumpaskan enam kegiatan penyeludupan kereta mewah, minuman keras dan rokok pelbagai jenama melibatkan rampasan RM5.84 juta di Melaka dan Johor, sepanjang Januari lepas.
Pengarah JKDM Melaka Nadzri Che Ani berkata dalam enam serbuan berasingan itu juga, sebanyak tiga individu warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 30-an hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kejayaan terbesar melibatkan rampasan 3.81 juta batang rokok seludup jenama Double Happiness, Canyon dan Zon King bernilai RM2.85 juta termasuk cukai di sebuah gudang di kawasan perindustrian di Ulu Tiram, Johor pada 29 Jan lepas.
"Serbuan di gudang berkenaan dilakukan pada 7 malam selepas pasukan yang membuat intipan dan risikan mendapati wujud pergerakan keluar masuk barang kes oleh sindiket terlibat bermula 10 pagi hari sama.
"Ketika serbuan dilakukan, tiada individu atau pekerja dikesan berada dalam gudang berkenaan manakala rokok seludup itu disimpan dalam kotak yang dibalut dengan plastik hitam dan disimpan dalam beberapa bilik di premis itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya sedang mengesan pemilik dan penyewa gudang berkenaan bagi membantu siasatan lanjut namun tidak menolak kemungkinan premis itu dijadikan stor penyimpanan rokok seludup untuk dipasarkan di sekitar kawasan selatan tanah air khususnya Johor.
Katanya rokok seludup berkenaan juga dipercayai dibawa masuk dari negara jiran kerana mendapat permintaan tinggi daripada pembeli.
Nadzri berkata berkata rampasan kedua terbesar juga melibatkan 2.78 juta batang rokok seludup jenama 'Double Happiness' melibatkan nilai termasuk cukai berjumlah RM2.23 juta.
Beliau berkata rampasan membabitkan rokok seludup berkenaan yang dibawa menggunakan sebuah lori itu dilakukan di Jalan Kluang-Kota Tinggi, Johor pada 28 Jan lepas.
"Dalam rampasan ini, pemandu lori berusia 50-an gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dagangan yang juga disimpan dalam kotak dan dibalut plastik hitam dan dia ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
"Kita juga sedang menyiasat sama ada dua kes berkenaan mempunyai kaitan atau rangkaian sindiket penyeludupan yang sama," katanya.
Beliau berkata selain rampasan rokok, sebuah kereta mewah jenis Porsche Panamera dipercayai diseludup dari Singapura turut dirampas di sebuah rumah berpagar di Jasin di sini kira-kira 12.30 tengah hari pada 18 Jan lepas.
Katanya kereta putih tanpa nombor pendaftaran dan cukai jalan yang dianggarkan bernilai RM286,000 termasuk cukai itu ditemukan semasa serbuan itu.
-- BERNAMA