JKDM Sabah rampas ribuan pil ekstasi, tahan lelaki tempatan

Ruzaini Zulkepli
Disember 4, 2017 14:05 MYT
HAMZAH berkata pihaknya berjaya merampas 10,196 pil ekstasi di Cawangan Bungkusan Pos Kota Kinabalu pada Selalu lalu. - Gambar Astro AWANI
Taktik sindiket pengedaran dadah untuk menyeludup 10,196 pil ekstasi yang diletakkan di dalam sebuah beg berisi pakaian terpakai berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Cawangan Bungkusan Pos Kota Kinabalu, di sini baru-baru ini.
Beg yang diubah suai sebelum disembunyikan dadah seberat empat kilogram dan disimpan di dalam kotak itu berjaya ditemui pasukan JKDM pada jam 12 tengah hari Selasa lalu.
Pengarah JKDM Sabah, Datuk Hamzah Sundang berkata kesemua dadah itu ditemui sepasukan pegawai JKDM hasil daripada pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas di lokasi berkenaan.
Menurutnya, JKDM turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang datang pada hari sama (Selasa) di lokasi kejadian bagi menuntut bungkusan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan menggunakan mesim pengimbas, kita mendapati ada imej mencurigakan di dalam beg yang disimpan di dalam kotak besar itu.
"Pemeriksaan lanjut ke atas bagasi itu kemudian mendapati ada ruang khas dipercayai untuk menyembunyikan dadah-dadah terbabit ditemui," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sabah di sini pada Isnin.
Tambah Hamzah, siasatan awal mendapati bungkusan itu dipercayai dikirim daripada Belanda dan pakaian terpakai yang terdapat dalam beg tersebut dipercayai hanya untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Kata beliau, bungkusan itu dialamatkan untuk dihantar ke Sandakan tetapi dibawa ke Kota Kinabalu terlebih dahulu bagi tujuan pemeriksaan.
"Lelaki tempatan yang mahu menuntut bungkusan itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Hamzah berkata, kes itu juga adalah yang pertama pihaknya membabitkan cubaan menyeludup dadah menerusi bungkusan pos pada tahun ini.
#Akta Dadah Berbahaya 1952 #Cawangan Bungkusan Pos Kota Kinabalu #Dadah #Hamzah Sundang #kastam #pil ekstasi #seludup pil ekstasi
;