JKDM Pahang patahkan sindiket seludup rokok bernilai lebih RM2 juta
Azee Shafy
Januari 17, 2023 17:13 MYT
Januari 17, 2023 17:13 MYT
TEMERLOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan sindiket penyeludupan rokok putih bernilai RM2,169,280 termasuk duti import dan cukai di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Temerloh, di Laluan Lebuhraya Pantai Timur 1, Pahang pada 5 Januari, pada pukul 8.30 pagi.
Pengarah Kastam Negeri, Wan Apandi Wan Hassan berkata, rokok berjenama JDB itu yang cuba diseludup seorang lelaki tempatan ditemukan melalui satu pemeriksaan rutin di kawasan tersebut ke atas sebuah lori 'bonded' berikutan sikapnya yang mencurigakan semasa sedang berehat di tempat penumpang lori berkenaan.
"Hasil pemeriksaan rapi ke atas lori itu, kita telah menemukan muatan berisi rokok yang disyaki barang larangan import dengan anggaran sebanyak 2,860,000 batang rokok yang melibatkan nilai anggaran sebanyak RM258,800.00 dan jumlah duti serta cukai dianggarkan sebanyak RM1,910,480.00.
"Lori itu dipercayai dalam perjalanan dari salah sebuah negeri di pantai timur menuju ke ibu kota. Semua barang rampasan telah dibawa ke stor Cawangan Penguatkuasaan Temerloh untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Temerloh, di sini, pada Selasa.
Tambahnya lagi, lelaki warga tempatan berusia anggaran 50-an yang berada di lokasi turut ditahan untuk membantu siasatan.
Menurut Wan Apandi, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan rokok tidak berkastam di dalam lori yang mempunyai nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa
"Kes disyaki dilakukan oleh satu sindiket penyeludupan rokok melalui pintu masuk pelabuhan negara, dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari, berurusan dengan barang-barang tidak berkastam di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.
"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh (10) kali ganda nilai barang atau RM 100,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada dua puluh (20) kali ganda nilai barang atau RM 500,000.00 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang enam (6) bulan dan tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya.
Pada masa sama, JKDM Pahang berharap orang awam dapat membantu pihaknya memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain, selain menasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Wan Apandi memberitahu, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Saya juga menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1 -800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dengan memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat
adalah dirahsiakan," tambahnya.