JKDM kesan taktik sorok dadah sebalik kacang

Shuhada Abdul Kadir
Julai 14, 2022 18:10 MYT
Rampasan dipercayai dadah jenis ketamin pada 4 Julai lalu itu melibatkan jumlah sebanyak RM13.475 juta. - Gambar fail/BERNAMA
NILAI: Cubaan sindiket pengedaran dadah mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyorok bahan terlarang berkenaan bersama biji kacang pelbagai jenis seberat 245 kilogram berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan dipercayai dadah jenis ketamin pada 4 Julai lalu itu melibatkan jumlah sebanyak RM13.475 juta.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati barang dagangan tersebut dieksport dari sebuah negara di Eropah dan transit di sebuah negara Timur Tengah sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai destinasi terakhir.
"Modus operandi sindiket ini bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai haricot vert (kacang hijau) sedangkan di dalamnya terdapat bungkusan kacang yang bercampur dengan serbuk kristal putih disyaki dadah berbahaya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidnag media di cawangan narkotik ibu pejabat JKDM Kampung Jijan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut ujarnya, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan susulan pengimport memalsukan pengikraran barangan semasa proses pengimportan sekali gus menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut yang mana siasatan dibuat di bawah Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu ujarnya, pihaknya turut mengesan taktik terbaharu dilakukan pasangan suami isteri warga tempatan yang didapati menghasilkan biskut berasaskan kanabis dengan menjualnya di platform media sosial.
Menurutnya, pasangan yang telah didakwa di mahkamah pada 6 Julai lalu dipercayai menjual satu balang biskut kanabis dengan harga RM100 dan dipercayai aktif sejak setahun lalu.
Dalam pada itu beliau berkata, dari tempoh Januari sehingga awal bulan ini, JKDM telah berjaya menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah termasuk racun sebanyak 1,036 kilogram yang bernilai keseluruhan RM20.475 juta.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kegiatan penyeludupan dadah banyak menggunakan modus operandi melalui parcel kurier dan kargo udara.
#Seludup dadah #bungkusan kacang #kastam #KLIA
;