JKDM Kelantan rampas minuman keras RM1.2 juta
Bernama
Mei 6, 2024 23:45 MYT
Mei 6, 2024 23:45 MYT
PASIR MAS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 24,500 liter minuman keras yang dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen pengimportan yang sah bernilai RM1.2 juta, dalam serbuan di sebuah gudang di Shah Alam, Selangor pada 25 April lepas.
Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan itu dilakukan oleh pasukan penguatkuasaan Rantau Panjang dengan bantuan Pasukan Cobra JKDM selepas menerima maklumat dan risikan dijalankan.
"Serbuan dilakukan ke atas sebuah gudang tidak bernombor di Jalan Haji Osman Kampung Batu 6, Shah Alam, Selangor pada 8.30 malam 25 April lepas.
"Ketika serbuan, minuman keras itu dimuatkan di dalam empat lori tanpa pemandu di pekarangan gudang terbabit," katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang di sini hari ini.
Menurutnya minuman keras tersebut diseludup ke negara ini melalui Pelabuhan Klang, bagi dijual di pasaran tempatan dengan harga lebih murah.
Wan Jamal Abdul Salam berkata minuman keras pelbagai jenama itu diklasifikasi sebagai Barang Larangan Import yang tertakluk di bawah jadual ketiga Bahagian II Item No. 3 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan di bawah Seksyen 74 (1) (c) Akta Eksais 1976.
"Rampasan ini antara yang terbesar oleh JKDM Kelantan sejak empat tahun lepas dan kesemua rampasan ini untuk pasaran tempatan terutama di Lembah Klang.
"Pasukan JKDM dari mana-mana negeri boleh bertindak mengikut maklumat dan aduan di tempat mereka walaupun kes tersebut berlaku di negeri lain," katanya.
--BERNAMA